A. Cukup jika gua letakkan pangkal namanya. Agar jika dia bukan milik gua suatu hari nanti, tiada perasaan yang akan tersinggung. Hikayat cerita gua dan A sangat agung. Dari ribuan teman-teman alam maya, teman-teman rangkaian sosial, ahli keluarga dan sahabat handai, hampir sembilan puluh peratus merestui hubungan gua dan Anas. Tarikh-tarikh penting yang gua harus ingat adalah 14 Mei dan 10 Oktober. Hari demi hari, hubungan gua dan A makin berseri. Seolahnya dunia mengharap, akan ada majlis bersanding pada bila-bila masa dari tarikh 10 Oktober 2010. Semuanya berlanjutan seperti merpati dua sejoli, sama cantik sama padan. Untunglah gua, berpasangan dengan gadis cantik tinggi IQ-nya, itu kata-kata teman rapat. Dan bukan itu yang gua lihat sebenarnya. Dan dari awal perkenalan gua dan A, seolah-olah ada keserasian bila kami mula berbicara, dan terlau banyak kesamaan. Kampung, rakan-rakan sebaya, negeri, minat, dan paling penting , gambar gua pernah berada di rumah orang tua nya sebelum gua kenal dengan nya. Bukan pelik, tapi kebetulan.
Dan untuk dijadikan cerita, gua pernah bersekolah di tempat A bersekolah di satu daerah di Johor.Ya, gua orang Johor ber-IC-kan 01. Dan bila diungkai semula cerita, awal pagi sewaktu minggu suai kenal, gua masuk lewat ke dalam dewan. Gua terselit di antara orang-orang yang gua tak pernah kenal. Bising. Seluruh dewan bising menantikan minggu suai kenal bermula. Dan aku lihat ada yang keluar masuk dari dewan, mungkin kerana usia masing-masing sudah mencecah tahun ke-16, agak sukar untuk mengawal pergerakan setiap pelajar. Ada ketika gua ter-perasan, ada pelajar baru, yang mana sama statusnya dengan gua masuk ke dalam dewan. Gadis. Langsung gua tak nampak wajah nya. Waktu itu, gua tak peduli siapa-siapa.
Berbulan belajar di sekolah tersebut, gua dapat tawaran ke asrama penuh. Gua pergi sebab waktu tu keinginan gua terhadap ilmu sangat tinggi. Dan gua sudah lupa pada gadis dalam dewan yang gua ceritakan tadi. Langsung tiada keinginan untuk mencari dia sebelum gua berpindah. Gua tamatkan Sijil Pelajaran Malaysia gua di asrama penuh. Tamat cerita sekolah gua.
Matrikulasi. Gua juga banyak cerita di sini. Tapi mungkin gua simpan dulu untuk entri akan datang.
Menara gading. Ya, gua layak ke institut pengajian tinggi awam. Masih banyak juga cerita di sini, tapi disimpan untuk entri seterusnya. Cuti semester ketiga, gua bekerja separuh masa di studio penghasilan gambar di daerah tempat tumpah darah gua. Setiap hari gua bekerja, gua curi sedikit demi sedikit ilmu dari tuan kedai. Pelanggan juga silih berganti. Dan gua sendiri agak mesra dengan semua pelanggan walaupun gua tak pernah ingat wajah dan nama mereka. Sekarang gua tinggalkan cerita gua bekerja separuh masa. Masuk semester 5, gua semakin aktif ber-laman-sosial. Niat tidak pernah baik. Tidak pernah ada rasa inginkan tanggungjawab. Sehinggakan suatu hari, sewaktu gelaran jurugambar bebas sudah gua kecapi, gua terlintas, ingin gua abadikan memori mana-mana pasangan bercinta dengan kamera cabuk hasil titik peluh gua bekerja separuh masa selama ini.
Dari situ, gua kenal wanita bernama A. Gua masih ingat, gadis dengan bertudung Indon dan berkain labuh putih. Gua buka paparan sembang pada laman sosial tersebut. Cuba untuk mendekati, jauh sekali merampas hak orang. Gua kemukakan hajat untuk merakam deti-detik indah A dan pasangan ketika itu. Diam, tiada keputusan. Seminggu kemudian, nama A naik di paparan laman sosial gua. Bertanyakan adakah peluang yang gua bagi dulu masih ada. Ya. Masih. Kerana gua rasa, pasangan yang bercinta ada aura berbeza. Aura itu lah yang gua ingin rakamkan dengan kamera cabuk gua.
Tapi angan-angan gua semua hancur. Bila mana suatu hari A beritahu, dia sudah tidak bersama kekasihnya. Dan gua tidak dapat berbuat apa-apa. Waktu itu, gua jadi kawan. Gua jadi telinga tempat mendengar. Hinggakan suatu hari, perasaan gua dan A berubah dari teman kepada teman yang lebih rapat.
Ingat lagi cerita gua pasal gadis di minggu suai kenal yang gua tidak berniat langsung untuk kenal? Ya, itulah A. Gadis yang gua lihat dari jauh, pertama kali memasuki dewan suai kenal barangkali. Dan ini satu kebetulan.Dan seterusnya nanti gua akan kira berapa banyak lagi kebetulan yang berlaku. Selepas kira-kira 5 bulan saling berbalas pesanan ringkas, gua rasa gua tidak layak. Gua tidak boleh memegang amanah seawal usia 21. Gua jelaskan pada A. Antara redha dan tidak, A hanya meng-iyakan kata-kata gua. Kebetulan , gua dan sekeluarga akan mengerjakan umrah ke tanah suci ketika itu. Awal-awal lagi gua berniat, untuk berdoa di Jabal Rahmah, di depan Baitullah, moga jika benar dia yang gua bakal pimpin, maka dekatkan lah gua dengannya. Dan gua masih ingat, banyak kisah terjadi di tanah suci. Yang baik , yang buruk. Itu gua akan cerita nanti. Entri lain. Hari keempat atau kelima mungkin, gua dapat panggilan dari Malaysia. Ya, yang cuba berkali-kali untuk menghubungi gua adalah A. Alangkah gembira bila gua dan dia sebenarnya sama-sama merindu, mungkin waktu itu, ada doa gua diperkenankan, hanya Tuhan Maha Mengetahui. 12 hari di tanah suci, gua pulang ke Malaysia, berbaju kotak biru dan bertutup kepala, bukan kerana botak, tapi kerana rambut gua yang terlampau panjang dan gua sukakannya. Dan gua sedari kecil memang terbiasa menutup kepala, dengan apa sahaja, topi, kopiah, songkok. Gua rasa selamat bila ada yang tertutup di atas kepala.
Kini masuk 5 bulan hubungan gua dan A. Gua nekad, selepas Aidilfitri, gua ingin bertemu dia. Alangkah bahagia gua rasa semenjak pertemuan pertama gua dan A, kami makin serasi. Ingat lagi sewaktu gua kerja separuh masa di sebuah studio dahulu? Ya, A selalu ke studio merangkap kedai gambar itu bersama ibunya. Ini sudah dua kebetulan. Bulan demi bulan hubungan kami makin selesa, dan gua jadi semakin rapat dengan keluarga nya. Sewaktu di rumah nya, gua ada terlihat majalah sekolah gua dan A, yang gua sempat sekolah beberapa bulan sahaja. Selak sehelai demi sehelai, sampai ke satu muka surat, nah! Sebesar-besar halaman, muka gua, mak gua, bapak gua dan adik gua. Gua tidak pernah lihat majalah tersebut sebelum ni. Ini menjadikan kebetulan yang ketiga. Jika dihitung secara logik, gua sepatutnya sudah kenal beliau 6 tahun. Tapi itukan kuasa Tuhan.
Kampung. Gua suka ke kampung A. Sebab nenek A sangat baik dengan gua. Pernah gua berjanji, jika sah jadi suami suatu hari nanti, gua bernazar ingin bawa A dan nenek ke tanah suci. Mungkin umrah, mungkin haji. Tante-tante A, sudah seperti darah daging ku sendiri. Hubungan yang mencecah 1 tahun 5 bulan seolah-olah mendapat restu semua.
Tapi itu kan kuasa Tuhan. 1 Ogos 2011, semuanya berubah. Yang manis jadi tawar, yang mulia jadi jijik. Satu demi satu perkara tidak menjadi, seolah-olah hubungan itu sudah cukup tempoh, perlu diperbaharui. Cukainya sudah tamat. Barangkali latihan industri yang sangat membuatkan gua sibuk, gua terlupa, ada yang menyayangi gua, sedang merindukan gua. Dan gua cuba selamatkan hubungan ini, kerana ia sudah terbina ikatan kekeluargaan, bukan lagi cinta monyet anak teruna dan dara. Sehingga ke hari ini, jika masih tiada entri yang membetulkan semua yang ditulis di sini, gua dan A tidak bersama lagi. Itulah kehidupan, doa gua untuk A, tidak pernah putus, tidak sekali. Sebab gua yakin, manusia yang istikhamah dalam berusaha, pasti akan ada manisnya usaha itu satu hari nanti.